Pilihan Raya Kampus:
Tak Percaya Pelajar Pro-Pembangkang Menang?
Selama ini saya tidak menyangka bahawa ada sesiapa yang ‘tidak percaya’ pilihan raya kampus di kebanyakan universiti baharu-baharu ini dimenangi oleh calon pro-pembangkang. Rupanya ada, dan orang yang seolah-olah tidak percaya itu bukan sebarang orang; beliau ialah Datuk Suhaimi Ibrahim, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjug (GPMS).

Beliau tentu sahaja boleh mengambil sikap ‘tidak percaya’, dan tidak ada sesiapa yang perlu memaksa beliau supaya percaya.

Akan tetapi, apabila beliau mencabar PAS supaya menyenaraikan pelajar yang pro-pembangkang itu, kita ingin juga bertanya, apakah motif dan muslihat beliau berbuat demikian?

Sebagai seorang pemimpin besar persatuan pelajar di negara ini, saya tidak fikir beliau tidak tahu bahawa sejak beberapa tahun yang lalu (bukan tahun ini sahaja) setiap pilihan raya di kebanyakan universiti di Lembah Kelang (misalnya, UPM, UKM, UM dan UIA) dimenangi oleh calon-calon pro-pembangkang.

Oleh kerana pilihan raya kampus itu sentiasa dimenangi oleh calon-calon propembangkanglah, maka dalam dua tiga tahun terakhir ini pelbagai peraturan yang ketat dan menyusahkan telah diperkenalkan oleh pihak pentadbiran universiti. Misalnya, calon tidak boleh bertanding secara berpasukan atau berkumpulan, dan masa berkempen pula dipendekkan kepada dua hari sahaja. Tujuan utamanya tidak lain supaya calon pro-pembangkang menghadapi kesukaran untuk memenangi pilihan raya itu.

Oleh itu, besar kemungkinannya Datuk Suhaimi Ibrahim ada motif dan muslihat tertentu apabila mencabar PAS supaya  menyenaraikan pelajar yang pro-pembangkang itu.

Antara motif dan muslihat utama beliau barangkali ialah supaya pelajar yang pro-pembangkang itu diberi tekanan dan mungkin juga ugutan, supaya mengubah sikap, iaitu daripada pro-pembangkang kepada pro-kerajaan, ataupun sekurang-kurangnya membuat pengakuan yang dia tidak berpihak ke mana-mana.

Jika pelajar berkenaan dapat dipengaruhi supaya mengubah sikap daripada pro-pembangkang kepada pro-kerajaan, atau pun tidak berpihak ke mana-mana, maka imej kerajaan yang terjejas selama ini (kerana tidak disokong oleh para pelajar) mungkin akan dapat dipulihkan. Saya kira itulah motif dan muslihat utama beliau.

Bagaimanapun, pihak PAS tentulah tidak perlu melayan cabaran Datuk Suhaimi Ibrahim itu.

Beliau bukan tidak tahu dan mungkin hanya ‘buat-buat tidak percaya’ kebanyakan pelajar universiti di negara ini sudah lama menyokong calon pro-pembangkang.

Akan tetapi, jika beliau benar-benar tidak tahu dan  -ingin mempastikan sama ada benar atau tidak calon pro-pembangkang yang memenangi pilihan raya kampus itu, beliau bolehlah menjalankan penyelidikan dan siasatannya sendiri. Beliau tentu mampu berbuat demikian.

Oleh Marhaen Iman - 12.01.2003 (suntingan M@RHAEN)
Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!